SEBANYAK 24 buah rumah musnah dalam kebakaran, dilaporkan berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang membakar sampah. Kejadian berlaku di Makassar, Sulawesi Selatan pada Ahad lalu, lapor Detik. Ketua Pengarah Polis Wilayah Sulawesi Selatan, Pesuruhjaya Jamaluddin Farti berkata, kebakaran berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang kecewa selepas mengetahui isterinya curang. "Dia (suspek) datang ke rumah mentuanya di Desa Gaddong pada malam kejadian kerana hendak berjumpa anaknya yang sakit "Tetapi suspek tidak dibenarkan bertemu dengan anaknya. Suspek kemudian mengetahui isteri dan teman lelakinya berada di dalam rumah. "Suspek dan isterinya sudah tiga minggu tinggal berasingan. Suspek akhirnya membakar sampah dengan niat untuk memancing kekasih isterinya itu keluar dari rumah," kata Jamaluddin. Namun, tanpa disangka api merebak menjadi kebakaran besar sehingga membakar rumah penduduk. Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube