PERTIKAIAN isu tanah selama empat dekad antara dua pihak menjadi punca pembunuhan kejam di Jaunpur, Uttar Pradesh, pada Rabu, dengan beberapa lelaki memenggal kepala seorang remaja berusia 17 tahun menggunakan pedang. Pegawai polis berkata, dua pihak tersebut berseteru mengenai tanah di kampung Kabiruddin dan keadaan bertukar menjadi ganas pada Rabu apabila mereka bertempur. Mangsa yang dikenal pasti sebagai Anurag, 17, dilaporkan dikejar oleh beberapa lelaki, dengan salah seorang daripada mereka menghunus pedang. Anurag telah diserang dan senjata itu dilibas sehingga kepala remaja lelaki tersebut terpisah dari batang tubuhnya. Dua orang telah ditahan tetapi penyerang yang menggunakan pedang berjaya melarikan diri. Polis berkata usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan. Pasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengelak keadaan menjadi lebih tidak terkawal. Penduduk kampung berkata, ibu kepada remaja lelaki tersebut memangku mayat dan memegang kepala anaknya di pangkuan selama beberapa jam. Tambah polis, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube