suria

Pembunuh bersiri mengadu susah tidur malam, dakwa dihantui lembaga ‘mangsa’ di penjara

Seorang lelaki mengadu sukar tidur malam. -Gambar hiasan (ART CHEN/SMG)

SEORANG pembunuh bersiri mendakwa dirinya dihantui oleh 'hantu' mangsa-mangsanya di penjara.

Lelaki itu yang kini berusia 54 tahun disabitkan kesalahan membunuh 20 orang antara September 2003 dan Julai 2004.

Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas pegawai koreksional mengenai Yoo Young-chul, yang merupakan salah seorang pembunuh bersiri terkenal di Korea Selatan.

Walaupun pada awalnya dia mengakui terlibat dalam 26 pembunuhan, mahkamah mengesahkan terdapat 20 kematian dalam perbicaraan Yoo pada 2005.

Maklumat terbaharu mengenai Yoo selepas bekas pegawai koreksional, Lee Yoon-Hui mula mendedahkannya menerusi episod program 'Story of the day when the tail was bitten' di SBS TV.

Program itu memaparkan Lee berkongsi pandangannya mengenai temu duga mingguan dengan Yoo selama tujuh tahun.

"Suatu hari, Yoo datang melawat dan mengadu dia tidak boleh tidur pada waktu malam.

"Apabila saya tanya mengapa, dia beritahu mangsa-mangsanya 'muncul' sebagai hantu pada setiap malam," katanya.

Menurut Lee, Yoo turut memberi gambaran pernah melihat antara tiga hingga empat lembaga di siling bilik air di sel penjaranya.

Rekod mahkamah menunjukkan Yoo sebelum ini mempunyai 14 sabitan kerana mencuri, merogol dan memukul sebelum pembunuhan itu berlaku.

Selepas dijatuhi hukuman mati pada 2005, dia kemudian dipindahkan ke Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, Korea Selatan, yang mana dia sedang menjalani hukumannya.

Korea Selatan tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1997. - The Korea Herald/ANN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan