POLIS mengesahkan penahanan seorang doktor dari sebuah klinik yang dikenal pasti sebagai suspek kematian seorang pempengaruh, yang menjalankan prosedur rawatan menyedut lemak terhadap mangsa. Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Depok, Komisioner Suardi Jumaing, suspek, dikenali sebagai A didakwa di bawah Undang-undang Kesihatan yang jika sabit kesalahan bakal berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 5 tahun. Terdahulu, pempengaruh yang popular di Instagram, Ella Nanda Sari Hasibuan, 30, dilaporkan meninggal dunia selepas melakukan prosedur sedut lemak (liposuction) pada 22 Julai lalu di Klinik WSJ Depok. Suardi juga menambah, fail kes telah dipindahkan ke Pejabat Pendakwaan Daerah Depok dan ketika ini polis masih menunggu arahan pihak pendakwa raya. Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Metro Depok, Arya Perdana berkata, terdapat dakwaan perbuatan jenayah berkaitan kematian pempengaruh tersebut. "Seperti yang kita lihat, doktor yang mengamalkan tidak mempunyai lesen untuk mengamalkan, mereka juga berlatih di tempat yang tidak mempunyai lesen, dan klinik juga menggaji doktor yang tidak mempunyai lesen", jelas Arya. Untuk rekod, pempengaruh berkenaan dikejarkan ke hospital selepas mengalami sawan ekoran prosedur berkenaan. Doktor kemudian memaklumkan salur darahnya pecah. Keluarga mangsa membuat laporan polis susulan kematiannya agar kes tersebut disiasat kerana melibatkan unsur kecuaian. Jasad wanita berkenaan kekebumikan di kampung halamannya, Langkat, Sumatera Utara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube