SEORANG lelaki menerima pampasan sebanyak £17,000 (RM96,900) selepas dia mengalami kerosakan saraf kekal akibat kecuaian seorang doktor gigi. Mangsa, Joe Woollen, 44, berdepan detik malang itu ketika dia mendapatkan rawatan di Klinik Pergigian The Vale di London pada 2021. Sesi itu menjadi kenangan terburuk buat dirinya apabila jarum picagari sepanjang 2.1cm patah dan tersangkut di tisu lembut di bahagian belakang mulutnya, berdekatan rahang kanan. Ia berlaku semasa proses mencabut gigi, selepas beberapa suntikan bius diberikan kepada mangsa. Dia mendakwa doktor gigi dan pembantunya kelihatan terkial-kial mencari jarum yang hilang semasa prosedur itu. Joe trauma seumur hidup gara-gara kecuaian doktor gigi. -Foto PA Imbasan X-ray di hospital tempatan keesokan harinya mengesahkan jarum itu tersekat di dalam mulut dan dia perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkannya. Akibatnya, Joe mengalami bengkak yang teruk pada bahagian wajah serta kerosakan saraf kekal. Kerosakan saraf itu menyebabkan air liur lelaki itu sering meleleh tanpa disedarinya. Selain kehilangan deria rasa, Joe juga menderita kerana sering berlaku pergerakan tidak normal pada pipi dan bibirnya. Kes ini diambil oleh firma guaman Dental Law Partnership, yang berjaya menyelesaikannya di luar mahkamah pada Julai 2024. Joe berjaya mendapat pampasan, namun mengakui kes itu menyebabkan dia trauma seumur hidup untuk mendapatkan rawatan pergigian. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube