SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas dicekik oleh bapa kandung. Malah, suspek berusia 41 tahun juga bertindak mencederakan muka mangsa menggunakan batu. Kejadian berlaku di Kabupaten Musi Rawas, Sumatera Selatan, Indonesia pada Selasa. Ketua Polis Daerah Musi Rawas, AKBP Andi Supriadi mengesahkan kejadian itu. Menurutnya, suspek disyaki mendera mangsa dengan mencekik dan memukulnya dengan batu di muka. "Suspek ini memukul anaknya dengan batu. Mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia," katanya pada Rabu. Sebaik tiba di tempat kejadian, polis dan penduduk berjaya menahan suspek. "Kita pergi ke lokasi kejadian dan menyoal siasat ibu mangsa serta saksi," katanya. Tambahnya, pihak polis juga mendapatkan sejumlah surat kesihatan daripada rumah berkenaan yang didapati milik suspek, berkaitan dengan status perubatan dari hospital sakit mental. Kejadian tersebut masih dalam siasatan polis. Sebagai peringatan, perbuatan keganasan dan membunuh adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube