SEORANG lelaki yang dipecat kerana didapati tidur selama satu jam di pejabat, berjaya memperoleh pampasan bernilai ratusan ribu ringgit. Ia berikutan, dia yang bertugas sebagai pengurus jabatan di sebuah syarikat kimia terpaksa bekerja sehingga lewat malam pada hari sebelumnya. Berdasarkan laporan, lelaki yang dikenali sebagai Zhang dari Jiangsu, China ini merupakan pekerja yang berdedikasi sejak 20 tahun lalu. Namun, pada hari kejadian, pihak Jabatan Sumber Manusia syarikat mendapati dia tidur di meja pejabatnya selama satu jam. Susulan itu, hasil perbincangan yang dilakukan bersama kesatuan buruh membenarkan syarikat mengeluarkan notis pemecatan rasmi dengan alasan pelanggaran serius terhadap peraturan syarikat. Zhang yang merasakan pemecatan tersebut sebagai tindakan tidak adil kemudiannya memfailkan tuntutan mahkamah terhadap syarikat. Dalam menilai kes, mahkamah mengiktiraf bahawa walaupun majikan mempunyai hak untuk menamatkan kontrak kerana pelanggaran peraturan, penamatan tersebut mesti mematuhi syarat tertentu, termasuk menyebabkan kerugian yang besar. "Tidur di tempat kerja adalah kesalahan kali pertama dan tidak mengakibatkan kecederaan serius kepada syarikat," jelas Hakim Mahkamah Rakyat Taixing Ju Qi. Tambahan pula tempoh perkhidmatan selama 20 tahun yang dicirikan dengan prestasi cemerlang, kenaikan pangkat dan kenaikan gaji, telah ditentukan bahawa pemberhentian Zhang atas satu pelanggaran adalah keterlaluan serta tidak munasabah. Akhirnya, mahkamah memutuskan untuk memihak kepada Zhang dan memerintahkan syarikat membayar pampasan sebanyak 350,000 yuan atau kira-kira RM215,863. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube