suria

Mangsa buli rakan sekelas trauma ke sekolah! Alami kerugian lebih RM17,000, berat badan susut 13kg

Kegiatan buli sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

ISU buli dalam kalangan pelajar bagaikan tidak berkesudahan.

Terbaru, seorang pelajar lelaki disyaki diperas ugut oleh tujuh rakan sekelasnya sehingga kerugian kira-kira RM17,218 (HKD30,000).

Dia juga mengalami ketakutan dan tekanan perasaan yang mengakibatkan berat badannya turun 13 kilogram.

Situasi itu juga membuatkan dia enggan pergi ke sekolah.

Kisahnya itu terbongkar selepas ibunya membersihkan bilik tidur dan memeriksa kandungan perbualan dalam telefon bimbit.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Liang, pada awalnya pemerasan wang berlaku dalam jumlah yang kecil sebelum meningkat kepada kira-kira RM2,500 (HKD4,500).

Namun katanya, jumlah tersebut semakin meningkat kerana anaknya sentiasa menurut permintaan rakan.

“Sekurang-kurangnya enam rakan sekelas membuli anak saya atas pelbagai sebab dan dalam pelbagai cara.

"Mereka mengugut untuk melaporkan perbuatannya makan makanan ringan kepada guru jika tidak memberi wang,” katanya.

Bukan itu sahaja, Liang turut mendedahkan bahawa anaknya pernah dicederakan sehingga perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

“Selepas anak saya masuk sekolah rendah, berat badannya turun 13 kilogram dalam masa setengah semester sahaja,” katanya.

Dia yang bimbang dengan keselamatan anaknya bertindak membuat laporan polis dan memberhentikannya dari sekolah.

Ia berikutan pihak sekolah dan badan sosial tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan isu yang timbul.

Pada masa sama, dia juga berusaha mendaftarkan anaknya ke sekolah lain, namun kesemua permohonannya tidak diterima sehingga kini. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain