MAYAT seorang guru berusia 30 tahun ditemukan dalam keadaan tragis dengan kesan lecur dan luka di bahagian lehernya. Mangsa, Heri Aprianus Saragih ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kaksi, Riau, Indonesia pada Jumaat. Polis menerima laporan penemuan mayat itu daripada seorang pegawai keselamatan ladang yang dikenali sebagai Ali Azhar. Menurut Ketua Polis Daerah Tapung Hulu, Inspektor Wel Etria, pegawai keselamatan itu melihat mayat mangsa terlentang di atas jalan. "Saksi (Ali) melihat dari kejauhan ada sebuah motor terjatuh. Ketika menghampiri kawasan itu, saksi melihat mayat seorang lelaki. "Mangsa meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebelah motosikalnya. Mayat mangsa didapati melecur dan luka di leher," kata Wel pada Sabtu. Unit Siasatan Jenayah Polis Tapung Hulu yang menerima laporan itu kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. Difahamkan, mangsa merupakan seorang Kakitangan Kerajaan dengan Perjanjian Kerja (PPPK) yang mengajar di Daerah Tapung Hulu. Mangsa meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki berusia setahun. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube