SEORANG wanita cedera parah selepas dia ditetak oleh suaminya pada Jumaat. Mangsa ditetak berulang kali oleh pelaku di kediamannya di Pancoran Mas, Kota Depok, Jawa Barat, Indonesia. Menurut Ketua Polis Metro Jaya, Kombes Ade Ary Syam Indradi, mangsa menghubungi bapanya dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan tentang kejadian itu. “Si bapa menerima panggilan video daripada mangsa. Ketika itu mangsa berlumuran darah kerana mengalami luka akibat ditetak. “Bapa mangsa kemudiannya bergegas ke kediaman itu, namun mendapati anak perempuannya sudah dibawa ke hospital,” kata Ade pada Ahad. Dalam pada itu, mangsa berkata dia ditetak oleh suaminya di bahagian kepala, bahu dan leher selepas berlakunya pertengkaran antara mereka. Dakwa mangsa lagi, suaminya bertindak ganas kerana cemburu. Pelaku sudah ditahan dan kes berkenaan kini sedang disiasat oleh Polis Metro Depok. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube