SEKUMPULAN penduduk di kawasan yang dilanda banjir digemparkan dengan kematian seorang pensyarah lelaki yang maut selepas terkena renjatan elektrik di rumahnya. Kejadian berlaku ketika mangsa mahu menutup pintu pagar rumahnya ketika banjir mencecah paras pinggang. Insiden tragis itu berlaku di Hat Yai, Thailand. Susulan itu, pegawai dari Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah (PEA) cawangan Hat Yai melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengenal pasti terdapat wayar terdedah berhampiran pintu pagar. Dipercayai wayar tersebut haus kerana kerap bersentuhan dengan pintu pagar dan didapati ia hanya mempunyai satu lapisan penebat, sekali gus melanggar peraturan keselamatan yang mewajibkan dua lapisan atau saluran pelindung untuk kegunaan luar. Dilaporkan, kediaman-kediaman lain di perumahan sama turut didapati menggunakan pendawaian yang sama berbahaya. Sehubungan itu, PEA menghentikan bekalan elektrik ke kawasan tersebut sehingga sistem yang rosak diganti. Penduduk di kawasan itu turut diberi amaran untuk mengelak daripada mengendalikan objek logam atau peranti elektrik di dalam air bertakung. "Mangsa berkemungkinan maut apabila wayar yang rosak itu mengalirkan elektrik ke pintu besi, lalu menghantar arus melalui banjir, menyebabkan kegagalan organ serta-merta," kata pakar kejuruteraan elektrik, penolong profesor Dusit Suksawat. Memetik laporan Bangkok Post, siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan dan polis meminta pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengelakkan insiden berulang. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube