PUTERI Aiko yang terkenal di Jepun menyambut ulang tahunnya ke-23 pada Ahad lalu, ketika beliau mula mengambil lebih banyak tanggungjawab rasmi meskipun masa depannya dalam kerabat diraja masih menjadi tanda tanya. Menurut Agensi Rumah Tangga Imperial, Aiko, satu-satunya anak Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, menamatkan pengajian di universiti pada awal tahun ini dan kini terlibat dalam tugas-tugas rasmi serta upacara istana sambil bekerja di Persatuan Palang Merah Jepun. Namun, undang-undang Jepun memerlukan Aiko melepaskan status dan meninggalkan kerabat dirajanya jika beliau berkahwin bukan dalam kalangan kerabat diraja. Sebahagian besar rakyat Jepun menyokong perubahan undang-undang untuk bolehkan Aiko kekal sebagai kerabat diraja dan menjadi maharaja, namun pihak konservatif dalam parti pemerintah bertegas dengan mengekalkan penggantian takhta buat lelaki sahaja. Keluarga diraja Jepun yang semakin berkurang kini hanya mempunyai 16 ahli, termasuk empat lelaki. Merujuk kepada undang-Undang Rumah Tangga Diraja 1947, yang kebanyakannya mengekalkan nilai-nilai keluarga konservatif pra-perang, hanya membenarkan lelaki menaiki takhta dan memaksa kerabat wanita yang berkahwin di luar keluarga diraja melepaskan status mereka. Dengan hanya satu ahli keluarga lelaki muda, ia meletakkan kesinambungan monarki berusia 2,000 tahun itu dalam ancaman. Ahli lelaki yang termuda dalam keluarga diraja, Putera Hisahito iaitu sepupu Aiko yang berusia 18 tahun, kini merupakan waris terakhir, sekali gus menimbulkan masalah besar kepada sistem tersebut. Kerajaan kini mencari cara untuk mengekalkan kestabilan penggantian takhta tanpa bergantung kepada wanita, seperti membenarkan keluarga diraja mengambil ahli lelaki baharu daripada keluarga bangsawan lama yang kehilangan status selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, pandangan Aiko sendiri mengenai isu ini tidak diketahui. Beliau hanya pernah mengadakan satu sidang media penuh ketika mencapai usia dewasa. Bulan lalu, jawatankuasa hak wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva mengeluarkan laporan yang menyeru kerajaan Jepun untuk membenarkan seorang maharaja wanita, serta menangani isu-isu lain yang menghalang kesetaraan gender di negara itu. Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi menolak laporan itu sebagai 'dikesali' dan 'tidak wajar'. Beliau berkata, penggantian takhta adalah perkara asas identiti negara dan tidak diliputi oleh hak asasi dalam perlembagaan. Bapa saudara Aiko, Putera Mahkota Akishino, disoal mengenai perdebatan penggantian takhta dalam sidang media sempena ulang tahunnya ke-59 pada Sabtu, dan beliau memaklumkan bahawa ahli keluarga diraja adalah 'manusia yang hidup' dan pegawai istana yang menyokong kehidupan harian mereka seharusnya faham bagaimana ia mempengaruhi mereka. Di tempat kerjanya di Persatuan Palang Merah Jepun, Aiko ditugaskan dalam program latihan sukarelawan, menurut Agensi Rumah Tangga Imperial. Aiko dikatakan gemar berjalan-jalan bersama ibu bapanya pada hujung minggu selain bermain bola tampar, tenis, serta badminton bersama pegawai istana. -AP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube