suria

Anak sulung hidap leukemia, ibu tunggal gigih jadi penghantar makanan demi hamil zuriat kedua guna kaedah IVF

Jiang melakukan IVF untuk hamil anak kedua. Foto kanan (Baidu/大皖新闻)

SEORANG wanita dikecam hebat kerana sanggup menanggung beban hutang dan gigih bekerja sebagai penghantar makanan demi mendapat zuriat kedua melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF) sementara anak lelakinya sedang berjuang sakit leukemia.

Wanita berusia 29 tahun itu yang dikenali sebagai Jiang, dari wilayah Henan, utara China menjadi topik hangat selepas melahirkan anak perempuannya secara pramatang pada 13 November, ketika usia kandungan mencecah 31 minggu, akibat terjatuh semasa bertugas membuat penghantaran.

Menurut Sistem Penyiaran Henan, Jiang membesarkan anak lelakinya yang sakit seorang diri sejak bercerai pada 2022, dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

Anak lelakinya didiagnosis dengan penyakit leukemia selepas mengalami demam berterusan, dengan keputusan ujian darah yang tidak normal.

Selepas diagnosis tersebut, bekas suaminya enggan mengaku bapa kepada anak lelakinya dengan melarang namanya digunakan sebagai nama keluarga.

Seorang ibu mencari rezeki sebagai penghantar makanan. -Gambar hiasan

Menurut laporan China Medical Herald, pada masa ini, kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi pesakit leukemia di China adalah antara 60 hingga 90 peratus.

Kesihatan anak lelakinya menunjukkan kemajuan yang ketara selepas menerima rawatan dan kini dalam proses pemulihan, dengan prognosis memberangsangkan menunjukkan pemindahan sumsum tulang tidak diperlukan.

Memandangkan Jiang anak tunggal dan berstatus yatim piatu sejak kecil, dia memutuskan untuk hamil sekali lagi melalui IVF bagi mendapatkan anak kedua atas alasan tidak mahu anak lelakinya merasai kesunyian yang pernah dialami dulu.

“Saya dibesarkan tanpa ibu bapa, dan sentiasa berasa sangat sunyi. Jika saya meninggal dunia, anak saya akan hidup sebatang kara. Saya mahu dia mempunyai seorang adik," kongsi Jiang dengan Red Star News.

Cubaan pertama Jiang untuk IVF pada April tahun lalu gagal, tetapi dia berjaya pada percubaan keduanya setahun kemudian.

Walaupun terdapat sekatan undang-undang di China terhadap wanita bujang yang ingin menjalani IVF, masih tidak jelas bagaimana Jiang dapat meneruskan prosedur tersebut.

Jiang mengalami sakit perut semasa menghantar makanan dan melahirkan bayi perempuannya secara pramatang pada 13 November, dengan berat bayi hanya 1.5kg.

Perlu menanggung kos perubatan yang tinggi, Jiang memohon sumbangan orang ramai untuk rawatan ICU anak perempuannya, yang melebihi 3,000 yuan (RM1,841.84) sehari, selain hutang 500,000 yuan (RM306,956) untuk rawatan leukemia anak lelakinya.

"Keadaan saya dulu baik-baik saja. Ibu bapa ada meninggalkan sebuah rumah, kereta, dan wang. Tetapi rawatan leukemia anak saya menyebabkan terbeban hutang. Walaupun saya kini hanya memperoleh 3,000 yuan (RM1,841.84) hingga 6,000 yuan (RM3,683.47) sebulan hasil bekerja sebagai penghantar makanan, saya rasa meninggalkan anak saya bersama keluarga lebih penting daripada menanggung beban kewangan," kata Jiang.

Namun, keputusan Jiang untuk mendapatkan anak kedua ketika berdepan masalah kewangan telah mengundang kritikan hebat netizen.

“Bercerai, anak lelaki yang berjuang melawan leukemia, bekerja sebagai penghantar makanan, hutang keliling pinggang, dan menjalani IVF untuk anak kedua – sukar nak percaya ada orang memilih untuk menanggung semua ini dalam hidup mereka.

"Yang bongsu dilahirkan dengan cara susah, yang sulung bergelut melawan penyakit dan ibu tewas dalam perjuangan. Mengapa perlu susahkan diri?" demikian antara komen netizen.

Sementara itu, ada juga yang menunjukkan empati dan sokongan, dengan menganggap perkara ini sudah pun terjadi dan wanita tersebut perlu dibantu kerana perjalanan hidupnya masih panjang. -SCMP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain