SEORANG gadis berdepan dengan situasi mencemaskan selepas penunggang motosikal (rider) e-hailing yang ditempahnya menonton video lucah di telefon bimbit sewaktu menghantarnya ke destinasi. Mangsa yang berusia 18 tahun itu berkongsi pengalaman tersebut di laman grup Facebook, bertujuan untuk memberi peringatan kepada penumpang lain dan dalam masa yang sama berhasrat mengambil tindakan undang-undang. "Maaf jika perkongsian ini akan menyebabkan sesiapa terganggu. "Saya cuma nak tahu apa yang saya boleh buat. Saya menghadapi situasi ini kira-kira pukul 4 pagi. Dia (rider) menonton video lucah dari awal perjalanan sehingga pintu masuk ke kampung saya," tulisnya. Sementara itu dalam satu temu bual dengan media tempatan, mangsa memaklumkan dia membuat tempahan perkhidmatan e-hailing motosikal menerusi aplikasi Bolt, dari Jalan Mit Maitri ke kampungnya di daerah Nong Chok, Bangkok. Ketika membonceng, mangsa memberi tahu dia pada mulanya tidak menyedari perbuatan rider tersebut sehinggalah lelaki itu meningkatkan suara dan kecerahan telefon bimbitnya, seolah-olah mahu menarik perhatiannya. Ketika hampir tiba di rumah, mangsa menyuruh rider tersebut memberhentikan motosikal sebelum dia berjalan laju dan menyorok di rumah jirannya. Rider itu sempat merenung dan memberikan senyuman aneh sebelum berlalu pergi. Perkongsian tersebut mengundang perhatian warga maya dengan ramai pengguna perkhidmatan Bolt menyifatkan perkara berkenaan perlu ditangani dengan serius agar kejadian sama tidak berulang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube