SEORANG lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) tergamak membunuh isterinya dengan menggunakan sepana, gara-gara cemburu terhadap mangsa. Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Kedungrandu, Banyumas, Jawa, malam Jumaat minggu lalu, lapor Detik. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas, Komisioner Andryansyah Rithas Hasibuan berkata, suspek yang lumpuh dan berkerusi roda itu mengambil kesempatan ketika mangsa tunduk untuk mengambil telefon bimbit. Ujarnya, suspek memukul kepala mangsa menggunakan sepana lebih daripada sekali. "Daripada hasil kenyataan suspek, kerana tiada saksi yang melihatnya, berlaku lebih kurang tiga kali pukulan. Menurut kenyataannya, suspek juga mencekik mangsa," katanya. Selepas melakukan pembunuhan tersebut, suspek membuat pesanan teksi dalam talian dan menyerah diri kepada Polis Patikraja. Andryansyah mendedahkan motif awal pembunuhan disyaki kerana suspek cemburu terhadap mangsa. "Isterinya didakwa mempunyai hubungan sulit. Pelaku disyaki ada melihat telefon bimbit mangsa,"katanya lagi. Suspek kini didakwa mengikut Perkara 44 perenggan 3 Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (KDRT) dengan ancaman hukuman penjara 15 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube