suria

Anak bunuh ibu, berang tak belikan motosikal... Sorok mayat dalam rumah kosong

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. -Gambar hiasan

SEORANG pemuda berusia 23 tahun tergamak membunuh ibu kandung gara-gara tidak dibelikan motosikal.

Bukan sekadar itu, suspek turut mengheret mayat mangsa dan menyembunyikannya di sebuah rumah kosong.

Kejadian berlaku di Kapuas Hulu, Kalimantan Barat di Indonesia.

"Setelah melakukan tindakan itu, suspek cuba menyembunyikan mayat ibunya dengan mengheret mayat mangsa ke sebuah rumah kosong yang terletak di belakang rumah mereka," kata Ketua Humas Polis Kapuas Hulu, AKP Dony, dipetik sebagai berkata oleh detikSulsel, pada Sabtu.

Selepas menyembunyikan mayat ibu, suspek turut membersihkan kesan darah di tempat kejadian untuk menghilangkan kesan pembunuhan.

"Pagi esoknya, suspek berpura-pura mencari ibunya dan melaporkan kejadian itu kepada ibu saudaranya," jelasnya.

Perbuatannya terbongkar selepas keluarga berkenaan curiga dengan tindakan suspek, memandangkan dia merupakan orang terakhir dilihat bersama mangsa.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Motif pembunuhan bermula daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap ibunya yang enggan membelikannya motosikal baharu dan enggan membenarkannya untuk kahwin.

"Mangsa yang mengambil kira keadaan ekonomi dan ketidakstabilan pekerjaan suspek menegur suspek," kata Dony.

Sebagai peringatan, perbuatan keganasan dan membunuh adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain