SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditembak di dahi gara-gara enggan membeli rokok di kedai. Kejadian berlaku di sebuah kampung di Govindpur, Dharhara, India pada Ahad lalu. Memetik laporan Indiatoday, polis berkata, dalam kejadian pada petang Ahad, mangsa yang sedang bermain bersendirian berdekatan rumahnya dihampiri suspek yang merupakan penduduk tempatan. Suspek meminta mangsa membeli rokok dari sebuah kedai, namun permintaan tersebut ditolak. Suspek didakwa mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak mangsa di dahi dekat hidung, sebelum melarikan diri. Mendengar bunyi tembakan, ahli keluarga mangsa dan jiran bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah. Mangsa dibawa ke Pusat Kesihatan Komuniti Dharhara dengan bantuan penduduk kampung. Bagaimanapun mangsa dirujuk ke sebuah hospital memandangkan kecederaannya yang serius. Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan yang kritikal. Kes tersebut dalam siasatan dan suspek yang mempunyai rekod jenayah kini diburu polis. Sebagai peringatan, perbuatan keganasan adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube