suria

3 jam derita perut kena ‘kejutan elektrik’, pengantin lelaki dikejar ke hospital selepas buat simulasi sakit bersalin

Pesakit dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan. -Gambar hiasan

SEORANG wanita melakukan 'ujian' kejutan elektrik pada perut teman lelakinya selama tiga jam untuk mensimulasikan kesakitan melahirkan anak.

Rawatan itu sangat menyakitkan sehingga lelaki berkenaan dikatakan memerlukan pembedahan kecemasan pada ususnya

Wanita tersebut memberitahu, ahli keluarganya mencadangkannya supaya membawa pasangannya untuk merasai simulasi melahirkan anak sebelum mereka bertunang.

Setelah teman lelakinya bersetuju, pasangan itu pergi ke sebuah pusat di mana individu boleh disambungkan ke elektrod yang merangsang otot untuk mensimulasikan kekejangan haid dan melahirkan anak.

Kejadian tersebut berlaku di wilayah Henan di tengah China.

Dalam satu hantaran di media sosial, teman wanita itu memaklumkan bahawa dia secara beransur-ansur meningkatkan kekuatan mesin dalam 90 minit pertama sehingga pasangannya terus menjerit dan bergelut dari tahap lapan.

Pada tahap 12, dia bernafas dengan kuat, berpeluh di seluruh badan, meraung dan menangis.

Lelaki itu terpaksa menahan penderitaan selama 90 minit pada tahap 12 dan hanya berakhir selepas tiga jam sebelum rebah dengan keadaan perutnya yang 'keras seperti papan'.

Apabila lelaki itu pulang ke rumah, dia mula muntah dengan teruk dan mengalami kesakitan perut sepanjang malam.

Seminggu kemudian, keadaan lelaki itu semakin teruk sehingga dia dikejarkan ke hospital.

Menurut seorang doktor, usus kecil lelaki itu mengalami nekrosis dan perlu dibuang melalui pembedahan kecemasan.

Ibu lelaki berkenaan berang dengan rawatan yang dilakukan oleh bakal menantu terhadap anaknya dan memberitahu bahawa rancangan perkahwinan dibatalkan.

Malah, dia turut melarang wanita itu daripada melawat anaknya di hospital dan mengancam untuk menyaman wanita tersebut. -Agensi

 

Artikel Lain