suria

Pempengaruh maut selepas dedah tidak makan 2 hari, tak mampu bayar sewa

Seorang pempengaruh meninggal dunia selepas membuat pendedahan menerusi siaran langsung (live). Foto SCMP/Douyin

KEMATIAN seorang pempengaruh cosplay berusia 24 tahun menggemparkan warga maya.

Ramai bersimpati dengan keadaan kewangannya yang tertekan dan penderitaannya akibat masalah mental.

Keluarga blogger Maoyouyou, yang nama sebenarnya Shi Ye di media sosial berkata, Shi meninggal dunia pada 25 Februari lalu, lapor berita QQ.

Keluarga itu tidak mendedahkan sebab kematian Shi, mahupun memberikan butiran mengenai keadaan kematiannya. 

Bagaimanapun, ramai peminatnya mengesyaki dia mungkin membunuh diri akibat kemurungan.

Shi, yang lebih dikenali sebagai Maoyouyou, terkenal dalam kalangan komuniti cosplay di China.

Dia sering menyertai konvensyen anime yang diadakan di seluruh negara dan berkongsi gambar cosplaynya di Internet.

Maoyouyou mempunyai 51,000 pengikut menerusi salah satu platform media sosial.

Pada 24 Februari lalu, sehari sebelum kematiannya, Maoyouyou mengadakan sesi siaran langsung, di mana dia muncul sebagai watak animasi yang disukainya.

Menurut beberapa penonton, Maoyouyou dilaporkan kelihatan dalam keadaan murung pada hari itu, dengan menyatakan bahawa dia dalam keadaan mental yang teruk.

Dia juga mendedahkan dirinya tinggal menyewa di sebuah pangsapuri di Beijing selama tiga tahun, tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar sewa selama beberapa bulan.

Menceritakan dirinya sebagai 'di ambang kematian', dia mendedahkan tidak makan selama dua hari dan tidak mempunyai selera makan.

Dia cuba untuk mendapatkan rawatan perubatan, tetapi malangnya dia tidak berjaya membuat janji temu di hospital. -Agensi

Artikel Lain