SEBUAH pesawat dalam perjalanan dari Chicago, Amerika Syarikat (AS) ke Delhi, India terpaksa berpatah balik ke Chicago selepas penerbangan lebih 10 jam kerana masalah teknikal.
Namun, menurut sumber PTI, penerbangan pesawat Air India itu terpaksa berpatah balik pada Khamis lalu kerana banyak tandas tidak dapat berfungsi.
Menurut flightradar24.com, pesawat Boeing 777-337 ER itu kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare (ORD) di Chicago selepas berada di udara lebih 10 jam.
ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang terkena jarum tertinggal dalam pesawat alami kemurungan, tuntut ganti rugi hampir RM80,000
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat terbalik ketika mendarat di lapangan terbang, sekurang-kurangnya 8 cedera
Pesawat Boeing 777-300 ER, yang boleh menampung lebih 340 penumpang merangkumi kelas pertama, kelas perniagaan, dan ekonomi itu dilengkapi dengan 10 tandas, termasuk dua tandas yang dikhaskan untuk penumpang kelas pertama, menurut sumber PTI.
Sumber itu seterusnya mendedahkan bahawa hanya satu tandas yang masih berfungsi.
"Setelah mendarat di Chicago, semua penumpang dan kru keluar dari paesawat dan disediakan penginapan bagi mengurangkan kesulitan. Pengaturan alternatif dibuat untuk membawa penumpang ke destinasi mereka," kata jurucakap dalam satu kenyataan.
Syarikat penerbangan itu mengesahkan bahawa penumpang ditawarkan bayaran balik penuh untuk pembatalan dan pilihan penjadualan semula secara percuma jika mereka memilih untuk menggunakannya. -Agensi