suria

Remaja perempuan dirogol bapa kandung berulang kali, kejadian pertama ketika anak terlantar sakit di hospital

Seorang remaja perempuan menjadi mangsa kerasukan bapa kandung. -Gambar hiasan

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun terpaksa menanggung derita kerana dirogol bapa kandung sendiri berulang kali.

Lebih menyedihkan apabila mangsa pertama kali dirogol oleh bapa kandungnya ketika dia dirawat di hospital selepas pembedahan apendiks.

Pelaku berusia 48 tahun itu mengambil kesempatan terhadap anaknya yang sedang sakit ketika dia bersendirian menjaga mangsa yang terlantar di katil hospital.

Selepas kejadian pertama, pelaku mengulangi perbuatannya selepas mangsa dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah.

Kejadian berlaku di Sungai Serut di Kota Bengkulu, Bengkulu di Indonesia.

Insiden itu baru terbongkar apabila perbuatan pelaku dikesan isterinya sendiri iaitu ibu mangsa yang baru pulang dari kerja pada Jumaat lalu.

Ketika kejadian, ibu mangsa menangkap suaminya yang sedang melakukan perbuatan terkutuk itu pada anak mereka di bilik tidur di rumah.

Ibu kandung mangsa yang tidak dapat menerima perkara itu segera membawa anak perempuannya melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital.

Pelaku kemudian ditangkap selepas ibu kandung mangsa membuat laporan polis.

Berdasarkan siasatan awal, pelaku telah melakukan perbuatan tersebut sejak sebulan lalu.

Menurut polis, dalam tempoh itu, pelaku merogol mangsa di dua lokasi berbeza. 

Pelaku yang kini ditahan polis berhadapan hukuman penjara selama 15 tahun.

Sebagai peringatan, perbuatan rogol adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya. -Agensi

 

 

 

Artikel Lain