suria

Gara-gara mungkir janji kahwin, penolong profesor dipecat universiti

Mangsa rogol cenderung mengalami trauma fizikal. -Gambar hiasan

PERKHIDMATAN seorang penolong profesor di Jabatan Sains Politik sebuah universiti tempatan, ditamatkan serta merta.

Ia susulan, lelaki berusia 36 tahun itu didakwa merogol rakan sekerja selain memungkiri janji untuk berkahwin dengan mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku di Delhi, India.

Menurut pihak universiti, kejadian didakwa berlaku di luar premisnya dan merupakan isu peribadi. 

"Pihak universiti mengutuk sekeras-kerasnya jenayah itu dan menekankan bahawa sebarang serangan terhadap maruah dan hak wanita tidak akan diterima," kata seorang pegawai universiti itu.

Dalam pada itu, pegawai kanan polis berkata, seorang wanita berusia 31 tahun membuat laporan pada Isnin berhubung penolong profesor itu.

"Suspek ditangkap dalam tempoh 24 jam atas tuduhan rogol dan telah dihantar ke tahanan kehakiman. 

"Dia akan disoal siasat mengenai jenayah itu bagi mengesahkan dakwaan yang diterima," kata pegawai itu.

Berdasarkan aduan, mangsa bertemu tertuduh pada April 2024 dan mereka menjalin hubungan fizikal pada Jun, kerana suspek berjanji untuk mengahwininya. 

Bagaimanapun, pada Oktober, suspek didakwa mengingkari janji yang mendakwa bapanya menentang hubungan mereka kerana ketidakpadanan dalam horoskop. - Hindustan Times

Artikel Lain