KARIPAP...dari dulu hingga sekarang boleh didapati di mana-mana sahaja, betul tak. Tetapi karipap yang Abang Fen nak kongsikan dengan you all ni, memang lain daripada yang lain dan pastinya sedap. Kalau disoal ikut loghat utara "tang mana istimewanya karipap ni," tanya kawan Abang Fen. Ini yang Abang Fen nak ceritakan kepada you all. Baru-baru ini, masa Abang Fen pusing-pusing di Bukit Mertajam, teringat perusahaan karipap sejuk beku yang diusahakan oleh Mohd Nazri Ahmad, 44, dan isterinya Jamaliah Abu Bakar, 42. Perusahaan di Kampung Bukit Minyak itu dimulakan sejak 12 tahun lalu berbekalkan resipi turun-temurun keluarga terbabit sehingga nama produk itu juga adalah Waris. Ia dimajukan sehingga dijadikan sebagai produk sejuk beku bagi memastikan pelanggan yang datang dari luar Pulau Pinang dapat menyimpannya dengan baik sebelum dimakan. Keistimewaan karipap sejuk itu adalah intinya yang terdiri daripada empat jenis iaitu daging, ayam, sardin dan kentang. Mungkin ada yang cakap intinya juga seperti karipap biasa. Memang Abang Fen tak nafikan, tetapi isi ayam, daging dan sardin yang banyak serta kesedapannya menjadikan produk Mohd Nazri begitu istimewa. Oleh itu, tidak hairanlah apabila terdapat pihak membeli karipap sejuk beku itu dalam kuantiti yang banyak untuk diletakkan label sendiri. Pemborong itu akan memasarkan karipap berkenaan sebagai produk mereka sendiri kerana yakin pembeli pasti tidak akan kecewa terhadap kualiti inti dan kesedapannya. Ketika bersembang dengan Mohd Nazri (gambar), Abang Fen diberitahu bahawa antara pelanggan tetap yang terpesona dengan kesedapan karipap tersebut ialah penceramah bebas, Samsuri Ahmad selain Pengerusi Yayasan Islam Negeri Perlis, Azam Rashid. Mana tidaknya, selain sedap, Abang Fen juga terpegun dengan kebersihan yang diamalkan oleh Mohd Nazri dalam menghasilkan makanan berkenaan. Ketika kami bersembang, terdapat kakitangan Mohd nazri sedang menggoreng karipap tersebut untuk Abang Fen. Baunya....fuh...bau kari daging pun ada, sardin pun ada, terliur Abang Fen. Dalam tak sabar menunggu akhirnya karipap terhidang di depan Abang Fen. Semasa suku daripada karipap itu terjatuh diatas lidah, sudah terasa aromanya. Ubi dan daging lembu tempatan yang dipotong dadu itu cukup sebati dan membuatkan Abang Fen tidak terkata. Kandungan isi ayam yang banyak menjadi daya tarikkan. Sedar-sedar dah lima biji Abang Fen rasa, ketiga-tiga jenis inti itu memang sedap. Sambung semula cerita kami, Mohd Nazri memberitahu, perusahaannya turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menyediakan plastik pembungkus. "Selain itu, setiap biji karipap dibuat secara manual iaitu dengan memasukkan intinya menggunakan tangan supaya kandungan daging dan ayam tidak terkecuali di dalam setiap karipap. "Pembuatan dan proses memasak inti serta menguli tepung juga dilakukan dengan cara betul dan bersih, dengan itu karipap ini tidak akan basi dan tahan selama 30 hari”, katanya. "Alhamdulillah, belum ada pelanggan yang mengadu tentang perkara negatif setakat ini," ceritanya. Jadi… pada sesiapa yang berminat untuk menjual karipap sejuk beku atau menjadikannya sebagai kuih berbuka puasa nanti, boleh menghubungi Mohd Nazri ditalian 012 4679149.