NASI kandar di Pulau Pinang...sedap ke. Kalau Abang Fen sembang dengan kawan-kawan dari luar Pulau Mutiara ini, mereka akan beritahu semuanya nasi kandar di sini sedap belaka. Baiklah, oleh itu kali ini Abang Fen nak kongsi dengan you all tentang Nasi Kandar Pokok Ketapang yang terletak di Butterworth. Apa istimewanya? Jawapannya ialah Nasi Kandar Pokok Ketapang bukan sahaja sedap tahap menjilat kelima-lima jari tapi waktu operasinya juga agak eksklusif. Lauk-pauk yang baru tiba ditolak menggunakan kereta roda tiga. Bagi pembaca-pembaca yang diet pada waktu malam, mereka memang rugi, sebab nasi kandar ini memang sedap...Abang Fen tak tipu. Cuma waktu operasinya bermula pada pukul 11 malam hingga 7 pagi. Bagi pembaca yang tiba di Butterworth pada tengah hari, kenalah bersabar sehingga 11 malam untuk menikmatinya. Untuk pengetahuan pembaca yang Abang Fen sayangi dan hormati, bagi berkongsi kisah keenakkan Nasi Kandar Pokok Ketapang, Abang Fen sanggup beratur panjang dan menjadi pelanggan ke-27 (gambar bawah). Asalkan, pembaca dapat tahu mengenai kisah nasi kandar ini. Semasa beratur, haruman kari ikan dari periuk betul-betul memukau hinggakan Abang Fen rasa nak makan nasi dengan kari ikan sahaja pun sudah berbaloi. Untuk pengetahuan terdapat dua jenis nasi yang disediakan iaitu nasi putih dan nasi minyak, Abang Fen memilih nasi minyak sebab baunya memikat selera semasa beratur. Setelah menjamah Nasi Kandar Pokok Ketapang ini, Abang Fen nak bagi tahu pada kamu-kamu semua bahawa nasi kandar ini adalah yang paling sedap pernah Abang Fen makan...bukan nak propa tapi ikhlas. Telur ikan yang menjadi antara lauk kesukaan pelanggan. Bila dah sedap, Abang Fen pun mula nak tahu lebih lanjut tentang sejarah Nasi Kandar Pokok Ketapang ini dan siapa tuan empunya atau pengurusnya, rempah apa yang diguna serta macam-macam lagi. Cari punya cari siapa yang mampu merungkai keenakkannya, akhirnya, Abang Fen berjumpa dengan pengurusnya, Mohd Abu Tahir Jamal (gambar). Jelasnya yang berusia 38 tahun, premis tersebut tidak mempunyai rahsia besar yang digunakan untuk menyedapkan makanan selain resipi dan bahan asli. "Kami menggunakan rempah giling untuk masakan kari, dan lauk-lauk lain," jawabnya ringkas. Abang Fen tidak puas hati dan terus mengasak dengan beberapa soalan lagi terutama mengenai nasi minyak yang rasanya cukup menyelerakan walaupun dimakan begitu saja. "Nasi minyak itu adalah resepi warisan dan kami menggunakan minyak sapi untuk menjadikan ianya harum selain bahan-bahan yang perlu dirahsiakan. "Tetapi jangan bimbang setiap bahan yang digunakan adalah halal dan terdiri daripada bahan asas makanan yang biasa digunakan, cuma kaedah campuran sahaja berlainan," ceritanya. Nasi kandar Pokok Ketapang itu juga sebernarnya mempunyai sebuah restoran yang terletak kira-kira 100 meter dari pokok ketapang yang menjadi tapak perniagaan mereka pada waktu malam. Restoran yang dimaksudkan ialah Nasi Kandar Jamal Mohamad yang diusahakan sejak 1988 dan beroperasi pada pagi dan ditutup pada 12.00 tengah malam. Mohd Abu Tahir memberitahu, pada sebelah malam mereka menumpu pada perniagaan di bawah pokok ketapang kerana pelanggan lebih suka makan dalam keadaan bersantai serta terbuka. Diakhirnya, Abang Fen ingin kongsikan tentang satu perkara iaitu jika kamu ke sini nanti jangan lupa juga mencuba masakan telur sotong (gambar bawah). Lazatnya memang tidak terkata...