MUNGKIN ramai yang masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk mengadakan majlis berbuka puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Bagi yang masih lagi buntu, usah bimbang kerana The Royale Chulan Kuala Lumpur pasti tidak akan menghampakan anda. Bertemakan Iftar Ramadan 1001 Juadah Rakyat, hotel mewah ini menyajikan makanan dengan konsep yang sangat berbeza dan unik sekali buat umat Islam. Anda tidak perlu risau soal makanan yang bakal dihidangkan kerana hotel ini menawarkan pelbagai pilihan dan variasi rasa segenap pelusuk negara dengan menampilkan makanan tradisional, Asia dan juga barat. Keseluruhan gastronomi negara disatukan dan dihidangkan menepati tema 1001 makanan dengan adanya masakan ala Melayu, India, Cina, Jepun, Arab, Itali dan pelbagai lagi. Percayalah pemilihan hotel ini pasti tidak menghampakan kita semua kerana biarpun juadah yang dihidangkan banyak namun seiring dengan rasanya yang cukup enak dan memberi kepuasan berganda. Berkhidmat bersama hotel tersebut selama enam tahun, Chef Eksekutif The Royale Chulan, Sabri Soid berkata, tema yang diberi itu sendiri cukup jelas menggambarkan kemewahan makanan yang disajikan dan beliau turut menambah, pada tahun ini, mereka membawakan menu istimewa buat julung kalinya. “1001 Juadah Rakyat membawa maksud sangat meluas dimana makanan yang kita sajikan meliputi segenap lapisan masyarakat tidak mengira bangsa serta negara dan semestinya pelbagai variasi masakan. “Pada tahun ini, The Royale Chulan memperkenalkan buat pertama kali menu baru iaitu rusa panggang yang diadun dengan rempah khas dari timur tengah,” katanya kepada mStar Online. Jika setiap hotel seringkali mengangkat kambing sebagai makanan istimewa tetapi hotel ini bukan sahaja kambing malah menampilkan rusa sebagai tarikan utama kerana ia unik dan sukar didapati. Selain itu juga, pengunjung akan menjamu selera dengan diiringi alunan muzik dari timur tengah pada setiap malam untuk membangkitkan suasana segar. Harga yang ditawarkan sempena Iftar Ramadhan 1001 Juadah Rakyat ini ialah RM138 untuk dewasa dan kanak-kanak hanya RM90. Bagi lima hari Ramadan pertama, The Royale Chulan mengadakan promosi istimewa dimana setiap bayaran empat dewasa diberikan percuma satu dewasa, manakala bermula hari ke-6 Ramadan sehingga ke penghujung bulan, setiap sembilan dewasa maka percuma satu dewasa. Untuk tempahan majlis berbuka puasa di hotel ini, anda boleh menghubungi pihak pengurusan di talian 03-26889639 atau email kepada [email protected].