JIKA anda sukakan aneka masakan dan ingin menikmati makanan dengan rakan-rakan, The Palm Coffee House di Tropicana Golf and Country Resort adalah tempat yang paling sesuai. Disitu, pelanggan boleh menikmati lebih daripada 300 hidangan bufet sempena Ramadan iaitu ‘Santapan 29 Malam’ termasuk masakan tempatan, Thailand, Indonesia, Timur Tengah dan Amerika Selatan. Chef Eksekutif Lawrence Lim berkata, “Kami ingin menyediakan pelbagai pilihan makanan kerana boleh mencipta suasana berbuka puasa yang menyeronokkan. Masakan Timur Tengah sangat terkenal di kalangan masyarakat tempatan dan restoran kami telah menyediakan menu Nasi Arab Kabsa Kambing Bakar dan Nasi Briyani Gam. Seperti biasa, Tomyam selalunya cair dan kurang perisa tetapi versi The Palm Coffee House adalah lengkap dengan kepekatan kuah dan kaya dengan makanan laut. “Tomyam masam manis sangat pekat dan sedap dimakan dengan som tam, masakan Thailand iaitu salad betik hijau,” kata Lim yang mencadangkan masakan itu dimakan dengan nasi serai. Beliau yang pernah bekerja di Indonesia dan Jepun, juga mengesyorkan pelanggan untuk mencuba Bubur Lambuk Gulai Kawah yang dimasak dengan menggunakan resipi Timur Tengah. Di bahagian masakan Itali pula ada masakan kegemaran semua iaitu Lasagna, salad Caesar dan ayam panggang. Tiada bufet yang sempurna tanpa makanan tempatan! Lim telah menyediakan nasi kerabu, Ayam Panggang Kuah Percik, Ikan Jenahak Tumis Cili Hijau, Udang Segar Marjerin Masak Nestum dan Daging Salai Masak Kuah Lemak Cili Api. Pencuci mulut adalah harus untuk menyempurnakan hidangan dan antaranya ialah durian cendol, apam balik dan pisang goreng cheese. Hidangan bufet itu bermula dari 6 petang hingga 10 malam sehingga 24 Jun tahun ini. Dari Isnin ke Khamis, harga bufet adalah RM106 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti am, harganya adalah RM116 untuk dewasa dan RM53 untuk kanak-kanak.