BAGI penggemar makanan 'grill & steamboat,' nama Seoul Garden pastinya sudah tidak asing lagi dalam kalangan mereka. Manakan tidak, di Malaysia sahaja terdapat 35 Outlet Seoul Garden. Baru-baru ini, rangkaian restoran itu meraikan ulang tahun ke-35 mereka dengan sambutan serba meriah di outlet Seoul garden yang pertama di Malaysia, di Plaza Gurney, Pulau Pinang. Walaupun ramai yang pernah menikmati hidangan di Seoul Garden, masih ada yang belum pernah menjejakkan kaki dan merasai sendiri keistimewaannya. Pasti mereka tertanya-tanya, apakah yang membuat rangkaian restoran Asia-Korea ini begitu popular dalam kalangan warga tempatan? Pemegang francais Seoul Garden Pulau Pinang, Joseph Lee berkata, restoran itu menjadi pilihan ramai kerana bufet terbukanya yang menawarkan hampir 120 pilihan makanan. "Satu lagi keistimewaannya, ia memberi pengalaman yang menyeronokkan apabila pengunjung boleh memasak bersama-sama di meja dan terus makan," ujarnya. Antara yang diminati ramai ialah daging yang diperap khas dan juga daging bulgogi. Pengalaman membakar sendiri daging ini di atas tempat pembakar yang disediakan di setiap meja pastinya menambah keseronokan pengalaman menjamu selera. Selain hidangan bakar, anda juga boleh memasak pelbagai bahan-bahan seperti makanan laut dan sayur-sayuran dengan pilihan sup yang disediakan. Siow (tengah, kemeja biru cerah) dan Joseph (tiga dari kanan) bersama pengurusan kanan ketika sambutan ulang tahun ke-35 Seoul Garden Plaza Gurney. Bersempena sambutan ulang tahun ke-35, Seoul Garden menawarkan banyak promosi kepada pelanggan setia mereka pada tahun ini. Antaranya, potongan harga sebanyak 35 peratus untuk warga emas. Kanak-kanak berketinggian kurang 135 sentimeter yang datang dengan seorang dewasa (berbayar) pula tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Malah, mereka yang berkunjung ke mana-mana outlet restoran itu pada hari lahir mereka akan mendapat kek dan makan secara percuma. Jika masih lagi dalam bulan kelahiran anda, anda juga akan mendapat potongan harga sehingga 50 peratus dan menikmati kek dengan harga RM10 sahaja. Namun, untuk menikmati promosi hari lahir ini, anda perlu membuat tempahan seminggu lebih awal dan perlu membawa dua orang dewasa (berbayar). Bagi mereka yang risau mengenai status Seoul Garden, anda tidak perlu risau kerana restoran yang mula diperkenalkan di Singapura pada 1983 ini telah mendapat pengiktirafan sijil halal. Untuk maklumat lanjut, layari www.seoulgarden.com.my dan ikuti laman Facebook rasmi Seoul Garden.