KAMBING panggang sering menjadi salah satu hidangan wajib dalam kebanyakan bufet Ramadan di negara ini. Ia biasanya disajikan bersama nasi briyani, dan menjadi hidangan utama yang sering menjadi tumpuan utama. Di Royale Chulan Kuala Lumpur, chef di Warisan Cafe menghasilkan hidangan itu dengan versi tersendiri. Digelar Royale Briyani Kuala Lumpur, hidangan itu hadir bersama kambing panggang atau kambing golek yang diperap dengan herba dan rempah ratus dari Timur Tengah. Chef Eksekutif, Sobri Said berkata, beliau menghasilkan resepi itu kerana mahu memastikan keaslian rasanya. "Royale Briyani di sini berbeza dengan briyani yang ditawarkan di tempat lain. "Kambing itu diperap selama sehari dengan herba dan rempah ratus yang dipanggang dan dikisar rapi oleh pasukan kami. "Kami juga menghidangkannya dengan 30 jenis sos," ujar Sobri. Ternyata, nasi briyani itu bukan sahaja mempunyai aroma yang membangkitkan selera, malah rasanya sangat lazat dan berada pada kelas yang tersendiri. Hidangan itu merupakan sebahagian dripada Bufet Ramadan Citarasa Nusantara 2018 di hotel berkenaan. Ia turut menghidangkan makanan Thailand, India, Arab, Jawa, Bugis, Indonesia dan Malaysia. "Selain ais kacang, terdapat juga 20 jenis jeruk, 40 jenis ulam dan 52 jenis kerabu atau salad. "Keistimewaan lain ialah bubur lambuk Royale, dengan tekstur dan rasa yang halus," kata Sobri. Antara hidangan lain yang turut ditawarkan ialah gulai talang ikan masin, gulai campur, ikan berlado dan mapiau burger. "Kami menawarkan 30 stesen makanan membolehkan pengunjung menikmati hidangan yang segar dan baru dimasak. "Terdapat juga 10 jenis air seperti air serbat Jawa, teh ais madu dan air tebu," katanya. Harga adalah RM148 untuk dewasa dan RM98 (warga emas) dan RM74 (kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun).