BERTEMAKAN Aneka Sajian Desa yang menghimpunkan lebih 300 juadah, anda seharusnya tidak melepaskan peluang berbuka puasa di Tropicana Golf & Country Resort Bhd (TGCR). Pada tahun ini, mereka menambah 10 gerai seperti takoyaki, kebab daging arab dan kebab ayam, sata, monster bakso dan roasted jacket potato. Ikan siakap goreng masak acar kuning bersama timun, dalcha daging tetel, udang goreng sambal hijau bersama petai and tulang kambing masak hitam berempah merupakan antara menu baharu yang diperkenalkan pada tahun ini. Jika anda pening untuk memilih, apa kata mulakan dengan nasi mandi bersama kambing golek. Ia meruapakan salah satu sajian yang disyorkan oleh chef eksekutif TGCR iaitu chef Mohd Faezal Liwon. Dia yang pernah bekerja selama 10 tahun di Arab Saudi menjelaskan semua rempah yang digunakan diimport khas dari negara itu. "Saya mahu berkongsi sajian ini dengan rakyat Malaysia. Saya ubah sedikit agar ia sesuai dengan selera orang kita," ujarnya. Selain itu, pengunjung juga patut tidak melepaskan peluang menikmati ayam bakar tempayan. Malah, hidangan seperti sambal daun tempoyak juga merupakan satu kelainan di sini. Kepelbagaian menu turut menampilkan juadah seperti steamboat, itik panggang, apam balik, dim sum, pizza, ulam-ulaman dan aneka kerabu. Untuk pencuci mulut pula, mereka menawarkan bubur pulut hitam dan sago gula Melaka. Bufet Ramadan di TGCR berharga RM99 untuk orang dewasa dan RM50 untuk kanak-kanak (kurang daripada 12 tahun) pada hari bekerja manakala untuk hujung minggu ia berharga RM112 untuk orang dewasa dan RM55 (kanak-kanak).