RAMAI meluahkan kekecewaan terhadap penganjuran himpunan 'Freedom for Palestine' di Dataran Merdeka apabila segelintir peserta disamakan seperti rejim zionis. Ketika perhimpunan, segelintir peserta antaranya membawa plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’. "Kami agak kecewa dengan beberapa individu di sebelah sana yang berperangai seperti zionis-zionis," kata seorang wakil pihak penganjur dalam ucapan di pentas kepada umum, pada Ahad. Rakaman ucapan itu tersebar di media sosial dengan pelbagai komen dan kritikan. ARTIKEL BERKAITAN: Dilabel ‘zionis’ kerana bawa plakad kutuk Netanyahu, peserta himpunan Dataran Merdeka tuntut penganjur mohon maaf! Pelik laung takbir pun dilarang Himpunan pada Ahad itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bagi menunjukkan tanda solidariti kepada penderitaan rakyat Palestin. Susulan kontroversi itu, Pengerusi VPM Datuk Dr Musa Mohd Nordin tampil memberi penjelasan bahawa pasukan keselamatannya menganggap plakad mahupun gambar yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai satu tindakan provokasi. Memetik kenyataan dilaporkan Scoop, beliau mempertahankan pendiriannya yang mengarahkan supaya peserta menurunkan plakad yang mengutuk Netanyahu. Malah, beliau turut menafikan dakwaan terdapat peserta dilabel sebagai 'zionis' kerana membawa plakad yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai 'syaitan'. “(Plakad) tersebut tidak menggambarkan adab dalam VPM yang mana kami mengekalkan standard, meskipun ketika beremosi. “Saya tidak kata dia zionis. Saya kata kita tidak sepatutnya ke tahap zionis," katanya. Menurut Dr Musa, segelintir pihak gagal memahami 'gambaran lebih besar' dalam konflik Israel-Palestin, sekali gus membangkitkan kemarahan mereka. Selain itu, beliau turut menafikan tentang larangan para peserta melaungkan takbir, Allahuakbar (Allah Maha Besar). Ini kerana katanya, perhimpunan yang diadakan itu merupakan acara yang terbuka kepada penyertaan dari pelbagai latar belakang. “Kami (VPM) telah membuat kenyataan rasmi bahawa himpunan ini untuk masyarakat berbilang kaum dan agama. "Kami mahu semua orang terlibat, jika anda melaungkan takbir, maka anda mengasingkan masyarakat bukan Islam dalam khalayak ramai itu," katanya lagi. Terdahulu, salah seorang peserta himpunan menyuarakan kekecewaan selepas dilabelkan sebagai 'zionis' gara-gara memegang plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’. "Apa salahnya saya? Adakah mesej yang saya bawa dengan menyatakan Netanyahu sebagai penjenayah perang adalah salah," kata peserta itu ketika dihubungi mStar. Menurutnya, plakad tersebut sekadar untuk menyuarakan kemarahannya terhadap kekejaman zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap bumi Gaza dan meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. "Solidariti ini semuanya tahu angkara pihak Netanyahu yang mengebom Gaza. Jadi, ia sebagai satu rasa ketidakpuashatian terhadap tindakan mereka. "Kami melancarkan protes secara senyap (silent protest). Kami tidak bersorak, juga tak menggunakan kata-kata kesat. Jadi, apa salahnya plakad ini?" soalnya. Susulan kekecewaan itu, dia bersama ahli keluarga membuat keputusan untuk meninggalkan perhimpunan. "Ini sepatutnya menjadi satu perhimpunan aman, tapi berlaku sebaliknya. Bukannya saya melakukan rusuhan atau provokasi... kami tidak menentang secara kekerasan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube