suria

Berlari sambil raikan musim ‘raja buah’ di Raub Durian Festival Run

Program yang dijalankan adalah inisiatif yang ditumpukan kepada peluang eksport dan potensi pasaran global durian Musang King.

BAGI penggemar raja buah, Raub Durian Festival Fun Run bakal menjadi satu acara yang dinanti-nantikan.

Pasti meriah apabila kita dapat melihat peserta yang menyertai acara larian perlu membawa durian mengikut kreativiti masing-masing.

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata program ini merupakan satu inisiatif untuk meluaskan peluang eksport dan potensi pasaran global durian Musang King melalui Forum Durian Antarabangsa.

"Dalam pada kita berseronok, festival ini juga diadakan sebagai tanda terima kasih kepada pengusaha yang menjadikan durian Musang King terkenal di pasaran antarabangsa.

"Saya berharap agar perniagaan pasaran tempatan dapat menyerlah dan secara tak langsung membantu dalam meningkatkan ekonomi dan pelancongan Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Raub Durian Festival Fun Run di Damansara, Selangor, pada Khamis.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin.

Program anjuran Persatuan Pertanian dan Ekopelancongan Pahang, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Raub, dan Gereja Methodist Cina Raub ini, akan diadakan pada 9 hingga 11 Ogos 2024.

Bukan sahaja acara larian, program ini turut melibatkan penyertaan lebih daripada 60 penjual, termasuk jenama tempatan, pemilik ladang, dan artisan yang akan memeriahkan suasana dengan menjual barangan berasaskan durian termasuklah cenderahati.

Malah terdapat juga bengkel interaktif, pertandingan memasak, persembahan budaya, dan pelbagai aktiviti lain yang menarik buat seisi keluarga.

Yu Hui berkata, Raub Fun Run dan Durian Festival adalah salah satu cara dalam mencerminkan semangat komuniti dan kekayaan warisan budaya Malaysia.

"Acara sebegini penting dalam memacu pelancongan, memupuk perpaduan, dan mempamerkan pelbagai pengalaman yang ditawarkan Malaysia kepada penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa," katanya.

Daftar sekarang dan jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara yang meraikan warisan Raub dan durian Musang King yang ikonik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain