SULTAN Ibrahim selesai melafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, dalam satu istiadat pertabalan yang berlangsung penuh tradisi di Istana Negara, sekali gus menandakan permulaan pemerintahannya selama lima tahun. Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah memasuki Balairung Seri Istana Negara pada pukul 10.21 pagi sambil diiringi alunan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' oleh kumpulan Nobat Diraja Perak. Sebaik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersemayam, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini kemudiannya menghadap bagi memohon perkenan baginda bagi memulakan upacara itu. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian menyampaikan Surat Pemasyhuran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membacakannya dan secara rasmi mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. ARTIKEL BERKAITAN: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula, dahului upacara Hormat Diraja Sultan Ibrahim berkenan menerima Keris Kerajaan, sebelum melafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu. Sejurus selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela mengetuai perhimpunan dan bergema laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali. Lagu Negaraku dimainkan, dengan tembakan meriam atau Tembakan Kehormatan sebanyak 21 das. Anwar yang mewakili kerajaan dan rakyat menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Sultan Ibrahim kemudian meneruskan titah baginda kepada rakyat, berikrar untuk memimpin negara dengan adil dan saksama serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang menjayakan istiadat pertabalan itu. Kira-kira 700 tetamu, termasuk raja-raja Melayu, gabenor dan pembesar dan pemimpin asing menghadiri majlis itu, yang disiarkan secara langsung di televisyen nasional. Sultan Ibrahim dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lalu untuk memerintah selama lima tahun yang bermula pada 31 Januari. Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube