suria

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula, dahului upacara Hormat Diraja

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara. -Foto Bernama

ISTIADAT Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dimulakan dengan upacara penuh tradisi ketenteraan, Hormat Diraja yang berlangsung di Dataran Istana Negara pada pagi Sabtu.

Istiadat yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu melambangkan ikrar taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi ATM.

Ia bermula dengan ketibaan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 9.49 pagi Sabtu di Anjung Tamu, di mana mereka diiringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setelah Yang di-Pertuan Agong berada di Peterana Diraja, baginda diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama yang dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Lagu Negaraku dimainkan dan Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama dan memberi hormat sewaktu melintasi panji-panji.

Setelah pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, baginda sekali lagi diberi Hormat Diraja kedua dan lagu Negaraku turut dimainkan.

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat memasuki Istana Negara untuk istiadat pertabalan.

Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen nasional, membolehkan orang ramai menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Acara bersejarah itu dijangka dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, gabenor, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri kabinet, pembesar asing dan pemimpin.- The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain