PADAH memiliki kad pengenalan palsu selama 20 tahun, seorang lelaki warga Indonesia dipenjara dua tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu, pada Jumaat. Tertuduh, Razlan Yusuf, mengaku bersalah menggunakan MyKad yang didaftarkan atas nama orang lain, di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles. Lelaki berusia 49 tahun itu, yang juga memegang pasport Indonesia, berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. Majistret Lovely Natasha Charles memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Julai 2024 dan dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman. Mengikut fakta kes, tertuduh pergi ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kota Kinabalu, pada Selasa untuk mengesahkan beberapa dokumen termasuk kad pengenalan. Dia kemudian ditahan pada pukul 3 petang selepas disyaki memiliki kad pengenalan bernombor 771127-12-5563 yang didaftarkan atas nama Mohd Jefri bin Mohd Taib. Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah menunjukkan kad pengenalan Razlan tiada dalam rekod jabatan itu. Siasatan juga mendapati tertuduh memiliki pasport Indonesia bernombor C8030359 atas nama Razlan bin Yusuf, iaitu dokumen pengenalan dirinya yang sebenar. Susulan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan kerana memiliki kad pengenalan kewarganegaraan palsu tanpa kebenaran yang sah atau sebab munasabah. Sementara itu, pegawai pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan tertuduh. Semasa mitigasi, Mohd Naser berkata, tertuduh menggunakan kad pengenalan palsu itu selama 20 tahun, yang mendakwa memperolehnya melalui orang tengah dengan bayaran RM300, pada 2004. Tertuduh yang bekerja di sebuah stesen minyak di Luyang, dekat Kota Kinabalu, tidak diwakili peguam. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube