suria

2 kapal berlanggar! Maritim Malaysia gerakkan operasi mencari, menyelamat

Dua kapal berlanggar di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau.

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) susulan insiden perlanggaran dua kapal di Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, insiden itu berlaku pukul 6.55 pagi Jumaat.

"Pelanggaran kapal MT Hafnia Nile dan kapal MT Ceres 1 di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau.

"Operasi mencari dan menyelamat digerakkan. Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 29 tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal tersebut.

Saiful Lizan berkata, operasi sedang dijalankan dan satu sidang media dijangka diadakan pada Sabtu mengenai perkembangan terkini.

Beliau memberitahu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden tersebut bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.

"Maritim Malaysia juga mengarahkan pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain