suria

Kena ‘ratah’ dalam kereta, semak! Budak 11 tahun dirogol 4 lelaki bergilir-gilir

Seorang budak perempuan dirogol empat remaja lelaki secara bergilir-gilir. -Gambar hiasan

POLIS menahan empat remaja lelaki kerana didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir dekat Teluk Intan, Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, satu laporan polis dibuat pada pukul 12.26 tengah hari Khamis.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, suspek pertama dan suspek kedua berusia 14 dan 16 tahun merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta pada pukul 6.30 petang Rabu ketika mangsa keluar bermandi-manda bersama suspek di sebuah kawasan air terjun.

"Suspek ketiga berusia 17 tahun merogol mangsa pada kira-kira 8.30 malam Khamis, ketika mangsa mengikut suspek pulang ke rumahnya.

"Suspek keempat juga berusia 17 tahun, merogol mangsa di kawasan semak pada tengah malam sewaktu mangsa dan suspek keluar bersiar-siar," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Ahmad Adnan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, polis menahan kesemua suspek di lokasi berbeza di Teluk Intan antara 3 petang hingga 10 malam Khamis, bagi membantu siasatan.

Jelasnya, dua daripada empat suspek tidak bersekolah.

"Kesemua mereka dari Teluk Intan dan mengenali antara satu sama lain," katanya sambil menambah semua suspek direman sehingga 21 Julai.

Sehubungan itu, Ahmad Adnan menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak khususnya anak perempuan.

"Ibu bapa sepatutnya tahu dengan siapa dan ke mana lokasi yang dituju bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan gejala negatif,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain