suria

Tragis! Berang asyik kena marah, pemuda tikam ibu hingga maut

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. -Foto PDRM

GARA-GARA sering dimarahi kerana mempunyai masalah kewangan, seorang pemuda tergamak membunuh ibunya sendiri di rumah sewa didiami mereka di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang Selasa itu, suspek warga Myanmar berusia 20 tahun menikam ibunya yang berusia 40 tahun menggunakan pisau berkali-kali.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam pada pukul 5.49 petang.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari anak bongsu mangsa yang menemukan ibunya dalam keadaan berlumuran darah sebaik pulang dari sekolah.

Kanak-kanak itu kemudiannya memaklumkan kepada jiran sebelah rumah yang seterusnya menghubungi pihak polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh 3 ahli keluarga sebelum bakar rumah! Azman didakwa, mengaku salah pukul anak saudara

"Siasatan mendapati semasa kejadian mangsa berada seorang diri dipercayai sedang memasak di rumahnya.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek dan mangsa ditikam beberapa kali menggunakan pisau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek yang merupakan anak sulung mangsa berjaya diberkas kira-kira pukul 7.30 petang hari yang sama selain merampas senjata digunakan suspek.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati pada ibunya kerana asyik memarahi disebabkan masalah kewangan.

"Semakan turut mendapati suspek yang merupakan pekerja swasta itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau," ujarnya.

Mohd Iqbal menambah, polis mengambil keterangan daripada lapan individu bagi membantu siasatan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan mati lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Ogos depan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain