suria

Kecoh video bual berkaitan dadah di TikTok, polis panggil 3 remaja bantu siasatan

Tiga remaja dipercayai terlibat dalam video tular mengenai perbualan berkaitan dadah. -Gambar hiasan

POLIS memanggil tiga remaja susulan tular video perbualan berkaitan penyalahgunaan dadah di media sosial.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua individu tersebut terdiri daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dan remaja perempuan berusia 18 tahun.

Menurutnya, ia berikutan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang merupakan salah seorang individu yang turut terlibat dalam perbualan tersebut.

"Satu penafian penyalahgunaan dadah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Rabu oleh remaja perempuan berkenaan.

"Siasatan mendapati perbualan mereka adalah rentetan daripada sebuah filem yang ditonton memaparkan adegan berkaitan penyalahgunaan dadah dan ia sekadar gurauan bersama rakan-rakan sahaja," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Zainol berkata, siasatan polis turut mendapati perbualan itu dibuat pada Isnin lalu secara berkumpulan secara dalam talian dengan menggunakan platform TikTok.

"Semakan rekod mendapati kesemua mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah dan negatif ujian air kencing.

"Kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk siasatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar bijak menggunakan media sosial serta tidak menggunakan platform tersebut sehingga ia menyalahi undang-undang.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 52 saat yang memaparkan perbualan sekumpulan individu berkaitan penyalahgunaan dadah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain