SEORANG operator mesin maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai terjatuh dalam mesin memproses tandan sawit di sebuah kilang di Jenjarom, Kuala Langat. Dalam kejadian yang berlaku petang Selasa (semalam), mangsa pada mulanya dilaporkan 'hilang' dari tempatnya bertugas selepas kembali daripada waktu rehat. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 9.15 malam daripada pengurus kilang memproses sawit tersebut. Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, dikatakan mangsa telah keluar untuk berehat pukul 1 tengah hari sebelum kembali bekerja 50 minit kemudian. Rakan sekerja mangsa kemudian mengambil giliran rehat kira-kira pukul 2 petang. ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Motosikal hilang kawalan, galah sabit terpelanting hingga tertusuk badan "Bagaimanapun, rakan mangsa mendapati mangsa tiada di lokasi dan mesin serat tersebut beroperasi tanpa operator ketika dia masuk bekerja semula pukul 2.30 petang. "Ini membuatkan pengurus kilang dan pekerja lain mencari mangsa di kawasan sekitar sebelum menjumpai kasut, serpihan baju serta cebisan tulang di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Cebisan tersebut dipercayai milik mangsa lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 5.57 petang. Ujarnya lagi, hasil siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit semasa mengendalikan mesin tersebut. Tambahnya, kesemua bahagian tubuh mangsa hancur di dalam mesin tersebut dan semua cebisan berkaitannya dibawa serta diuruskan forensik Hospital Banting. Tambahnya lagi, berdasarkan semakan mendapati mangsa baharu sahaja bekerja lapan hari bermula 13 Ogos lalu. Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube