suria

Salah sendiri... CCTV dedah budak lelaki selit selipar celah pintu, punca lif tersangkut 9 jam

Paparan CCTV menunjukkan situasi sebelum kejadian terperangkap dalam lif.

KEJADIAN dua kanak-kanak lelaki yang terperangkap lebih sembilan jam di dalam lif di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Selasa masih hangat diperkatakan.

Insiden tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang menyalahkan pihak pengurusan kediaman.

Susulan itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial, mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku sebelum dua kanak-kanak tersebut terperangkap di dalam lif.

Dalam video berdurasi 1 minit dan 46 saat itu, kelihatan salah seorang daripada dua kanak-kanak berkenaan meletakkan selipar miliknya di tengah-tengah pintu lif.

“Lif di blok 59 berfungsi dengan baik dan tiada kerosakkan. Akan tetapi disebabkan vandalisme akibat daripada kanak-kanak tersebut meletakkan objek selipar di tengah-tengah pintu lif, menyebabkan sistem auto lock diaktifkan dan lif terus berhenti.

Paparan CCTV menunjukkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam lif berkenaan.

"Di sini juga dilampirkan gambar kanak-kanak tersebut merosakkan lif sehingga tidak berfungsi,” tulis seorang pengguna Facebook yang berkongsi video berkenaan.

Individu itu mendakwa menerima video dan laporan berkenaan daripada kenalannya, namun tidak didedahkan identiti.

Pada Selasa, media melaporkan tentang kehilangan dua budak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli makanan kira-kira pukul 2 petang.

Bagaimanapun mereka ditemukan selamat selepas terperangkap di dalam lif di tingkat empat pangsapuri kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas pihak pengurusan membuat semakan rakaman kamera litar tertutup.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain