suria

Bunuh 3 ahli keluarga sebelum bakar rumah! Azman didakwa, mengaku salah pukul anak saudara

Tertuduh, Azman Mohamed Nor, didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Selasa.

SUSPEK utama kes pembunuhan tiga sekeluarga yang kediaman mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh musnah dalam kebakaran pada 9 Ogos lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Selasa.

Tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, hanya menunduk faham dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Ab Hamit, 76 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara pukul 1 pagi sehingga 3 pagi di rumah beralamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki memohon tarikh sebutan semula ditetapkan dalam tempoh dua bulan bagi serahan laporan forensik serta kimia susulan pertuduhan melibatkan tiga mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Oktober depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

ARTIKEL BERKAITAN: Dibunuh sebelum rumah dibakar! Bedah siasat dapati muka mangsa hancur, ada kesan hentakan objek tumpul

ARTIKEL BERKAITAN: Lari sampai ke Bukit Bintang... Suspek bunuh 3 sekeluarga merayau bawa beg pakaian

Sementara itu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, tertuduh turut didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dah hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Bagi perbuatan tersebut, tertuduh membuat pengakuan salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir kemudian memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes.

Hakim Nariman kemudian menetapkan 29 September depan bagi penetapan hukuman.

mStar sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri warga emas serta cucu mereka berusia 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api, selain seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, kes itu diklasifikasikan semula daripada Laporan Kematian Mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ia susulan hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa yang mendapati terdapat kesan unsur jenayah pada mayat mereka.

Tertuduh yang merupakan anak kepada pasangan warga emas tersebut, melarikan diri selepas kejadian kebakaran itu berlaku dengan menaiki sebuah motosikal.

Dia kemudian berjaya ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain