suria

Tak puas hati MPV dipotong, lelaki tumbuk pemandu wanita... Kini dalam tahanan polis

Polis sentiasa bertindak pantas dalam membanteras jenayah dan kekerasan. -Gambar hiasan

PADAH membuli dan menumbuk seorang wanita di laluan berhampiran Kilometer 336 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan di Tapah, Perak, pemandu MPV ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pada masa kejadian, wanita terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dilihat memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih.

“Pemandu MPV dipercayai tidak berpuas hati dengan kejadian itu dan mengejar wanita terbabit sambil menyalakan lampu depan berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan daripada itu, wanita terbabit memberhentikan keretanya di tepi jalan.

Dia kemudiannya didatangi dua lelaki dari MPV berkenaan dan berlaku pertengkaran antara kedua-dua belah pihak sebelum salah seorang daripada lelaki itu menumbuk mukanya.

Ujar Mohd Naim, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tapah dan pihaknya telah melakukan penahanan pada 1 Ogos lalu.

“Lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kami masih berusaha mengesan seorang lagi rakannya," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, rakaman insiden yang berlaku pada 2.30 petang, 31 Julai lalu menjadi tular di platform X.

Pasukan polis berjaya mengesan klip berdurasi satu minit itu pada Isnin. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain