suria

Jenazah Cikgu Istiqomah diserah pada keluarga, dikebumi di Pasir Mas... Suami, ibu tak sanggup lihat keadaan jasad

Sebahagian ahli keluarga Cikgu Istiqomah yang hadir di unit Forensik pada Isnin.

JENAZAH Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi diserahkan kepada ahli keluarganya dalam keadaan tidak sempurna pada proses tuntutan di Unit Forensik Hospital Melaka.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah yang turut hadir berjumpa dengan ahli keluarga mangsa pada Isnin.

Menurut beliau, selepas pihaknya menerangkan keadaan jenazah, waris mangsa termasuk ibu dan suaminya menyatakan tidak sanggup untuk melihat jasad meskipun diberi peluang oleh pihak hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah berbulan-bulan meninggal dunia, suami harap jenazah Cikgu Istiqomah dapat dikebumikan segera

Ujar Ashari, jenazah Istiqomah dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan selepas waktu solat Zohor untuk dikebumikan.

Tambah beliau, masih terdapat beberapa bahagian anggota badan mangsa yang belum dijumpai.

"Jenazah bukan dalam keadaan sempurna hanya bahagian yang ditemui di peringkat awal dan kedua sahaja diserahkan kepada waris," jelasnya.

Untuk rekod, penemuan peringkat awal adalah anggota badan tanpa kepala, kaki dan tangan yang ditemui pada 31 Disember tahun lalu.

Bahagian kepala dan tulang jari mangsa pla ditemukan selepas suspek ditahan pada 5 Ogos.

Istiqomah, 33, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kota Masai 3 dekat Pasir Gudang, Johor, dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Disember tahun lalu selepas keluar bekerja.

Susulan itu, seorang lelaki yang merupakan kenalan Allahyarhamah ditahan reman sehingga 19 Ogos bagi membolehkan pihak polis menjalankan dan melengkapkan siasatan.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain