suria

Bekas Pengarang mStar Rozaid Rahman meninggal dunia

Rozaid meninggal dunia pada Ahad.

BEKAS Pengarang mStar Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia pada usia 59 tahun.

Beliau yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) meninggal dunia kerana sakit jantung pada petang Ahad di kediamannya di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor.

Menurut anak lelaki Allahyarham iaitu Roz Ariffin, bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung pada pukul 7 petang Ahad.

"Jenazah akan disolatkan di Masjid Putra Heights dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya, pagi Isnin," katanya kepada mStar menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini, beliau yang turut memegang jawatan Pengarang Perundingan Kumpulan Media The Star mengalami serangan jantung dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Rozaid memulakan kerjaya di Utusan Malaysia sebagai pemberita kadet pada April 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pemberita Kumpulan Utusan pada 1992 dan dua tahun kemudiannya dilantik menjadi Pengarang Berita.

ARTIKEL BERKAITAN: Memori berharga bersama Zam, mentor dunia kewartawanan

Beliau kemudian menyertai perkhidmatan awam sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu Menteri Pengajian Tinggi.

Seterusnya pada 2009, Rozaid kembali menyertai industri media sebagai Pengarang Bersekutu dan kemudian Pengarang Eksekutif The Star, memegang tanggungjawab antara lain membangunkan platform digital bahasa Malaysia, mStar Online.

Allahyarham juga merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Sepanjang kerjaya dalam dunia kewartawanan, Rozaid pernah menemuramah secara eksklusif Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Malaysia dan juga Yang di-Pertuan Agong, selain membuat liputan Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Pergerakan G-20 di Senegal, Afrika.

Malah, beliau juga merupakan wartawan Malaysia yang dihantar ke Hatyai untuk membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 30 November 1989.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain