suria

Kubur usia lebih 100 tahun dalam Tasik Pedu timbul kembali, nisan masih utuh... Waris adakan majlis tahlil

Kubur lama timbul di Tasik Pedu sejak awal bulan ini. Foto Facebook

KECOH di media sosial mengenai tanah perkuburan berusia 100 tahun timbul di Tasik Pedu dekat Kuala Nerang, Kedah sejak awal bulan ini.

Penduduk setempat turut berkunjung ke kawasan itu bagi menziarah kubur yang timbul dari dasar Tasik Pedu.

Rupanya keadaan itu berlaku disebabkan oleh penyusutan air di tasik tersebut sehingga kubur yang selama ini berada di dasarnya jelas kelihatan dan menjadi daratan.

Rakaman yang dimuat naik di media sosial turut menarik perhatian warga maya.

"Allah Maha Berkuasa, kubur bertahun dalam air tu masih utuh kedudukan batu nisan mereka.

"Kubur ada, maknanya depa (jenazah) pun ada situ. Kasihannya.

"Tiap tahun bila musim panas akan timbul perkuburan ni. Mana yang ada moyang-moyang masa ni la depa pergi menziarah kubur," antara komen warga maya.

kubur 1

Majlis bacaan tahlil yang diadakan pada Sabtu. Foto FB Ustaz Nurul Amin Hamid

Menurut Iman Masjid Tong Pelu, Pedu, Mohd Khoiri Idris, 58, tapak perkuburan tersebut muncul setiap empat tahun ketika cuaca panas berpanjangan.

Memetik laporan Sinar Harian, jelasnya, ia merupakan tapak perkuburan yang terletak di perkampungan lama yang dahulunya dikenali Kampung Mong Gajah.

"Sebelum ini, tapak perkuburan lama terbabit timbul pada tahun 2016, 2020 dan terbaharu pada 2024," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis tahlil dan kenduri arwah, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Air kering akibat kemarau, kubur lama muncul kembali di dasar tasik Empangan Pedu

Susulan peristiwa yang jarang berlaku itu, katanya, majlis tahlil dan kenduri arwah sudah diadakan tiga kali sejak tapak perkuburan tersebut timbul.

Mohamad Khoiri berkata, kebanyakan waris terutamanya cucu dan cicit mengambil peluang menziarahi kawasan perkuburan nenek moyang masing-masing.

Majlis tahlil yang diadakan berhampiran tapak perkuburan itu dihadiri kira-kira 200 waris itu dan turut disertai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid.

Nurul Amin turut hadir pada majlis bacaan tahlil. Foto FB Ustaz Nurul Amin Hamid

Beliau berkata, terdapat kira-kira 15 kampung termasuk Kampung Mong Gajah yang ditenggelamkan untuk projek Empangan Pedu pada 1960-an.

"Setiap kali Tasik Pedu mengalami penyusutan air dan kekeringan, penduduk kampung akan ke situ untuk mengadakan bacaan tahlil dan doa buat nenek moyang yang dikuburkan di Tasik Pedu, serta berdoa agar Tasik Pedu kembali penuh dengan takungan air," katanya sambil menambah majlis tahlil itu adalah inisiatif Persatuan Penduduk Kampung Pinang.

Dalam pada itu, Nurul Amin memberitahu, terdapat cadangan untuk memindahkan kubur-kubur lama tersebut ke kawasan lain.

Nurul Amin bagaimanapun berkata, beliau difahamkan hasil perbincangan di peringkat jabatan agama dan sebagainya mendapati tiada keperluan untuk dipindahkan kerana perkuburan ini sudah berusia lebih 100 tahun.

Bagaimanapun, kejadian tapak perkuburan lama di Tasik Pedu yang timbul kembali itu bukan perkara pelik kerana pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Pada 2020, mStar pernah melaporkan tanah perkuburan lama dipercayai berusia 100 tahun yang sebelum ini berada di dasar tasik Empangan Pedu, Kuala Nerang ‘muncul’ kembali selepas air empangan itu surut susulan cuaca panas dan kemarau yang melanda Kedah sejak beberapa bulan.

Kali terakhir kubur lama tersebut kelihatan pada 2016 ketika negara dilanda fenomena El Nino, yang turut menyebabkan air di empangan itu kering.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain