suria

Dunia media hilang sebutir bintang, anak kongsi amalan baik Rozaid Rahman… ‘Jaga mummy’ antara pesanan terakhir

Faiz (kanan) berkongsi luahan mengenai arwah bapanya.

DUNIA kewartawanan dan industri media tempatan dikejutkan dengan pemergian bekas pengarang mStar, Rozaid Abdul Rahman, 59, akibat sakit jantung pada Ahad.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar khususnya dalam kalangan rakan-rakan seperjuangan, malah kesedihan turut dirasai ahli keluarga Allahyarham.

Turut terkesan dengan pemergian beliau adalah anak lelakinya, iaitu Muhamad Roz Faiiz, 17, yang begitu rapat dengan arwah.

Mesra disapa Faiz, katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan bapanya pada Khamis lalu di Pulau Pinang sebelum arwah pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan perubatan di hospital.

Faiz menganggap bapanya sebagai idola dan bertanggungjawab.

Menurutnya, bapanya yang mengalami serangan jantung sebelum ini dimasukan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan menerima rawatan selama 35 hari.

“Selepas keluar dari hospital, daddy terus bertolak ke Pulau Pinang dan berehat di rumah. Sepanjang di rumah, daddy selalu termenung saja... asyik tengok siling.

“Saya dan mummy selalu beritahu daddy supaya jangan terlalu fikirkan sangat. Semuanya akan baik-baik saja.

“Masa nak ke Kuala Lumpur, saya beritahu Daddy, I Love you, be strong. Everything will be fine. Daddy kata I Love you too, jaga diri dan jaga mummy... itulah antara kata-kata daddy yang terakhir,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengarang mStar Rozaid Rahman meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Memori berharga bersama Zam, mentor dunia kewartawanan

Faiz yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik itu menyifatkan Allahyarham sebagai bapa yang penyayang dan bertanggungjawab.

“Bagi saya, daddy adalah hero. Saya nampak daddy sebagai ayah yang bertanggungjawab. Dia selalu tunaikan permintaan anak-anak.

“Walaupun usianya hampir 60 tahun, dia masih kuat bekerja demi anak-anak dia. Daddy adalah role model saya,” ujarnya sambil menambah arwah sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran pada 1 Oktober depan.

Kenangan... Allahyarham Rozaid (kiri) bersama Faiz (tengah) dan isteri.

Rozaid yang merupakan Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) meninggal dunia kerana sakit jantung pada petang Ahad di kediamannya di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor.

Menurut seorang lagi anak lelaki Allahyarham iaitu Roz Ariffin, bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung pada pukul 7 petang Ahad.

Jenazah disolatkan di Masjid Putra Heights dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya, pagi Isnin.

Beliau yang sebelum ini turut memegang jawatan Pengarang Perundingan Kumpulan Media The Star memulakan kerjaya di Utusan Malaysia sebagai pemberita kadet pada April 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pemberita Kumpulan Utusan pada 1992 dan dua tahun kemudiannya dilantik menjadi Pengarang Berita.

Beliau kemudian menyertai perkhidmatan awam sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu Menteri Pengajian Tinggi.

Seterusnya pada 2009, Rozaid kembali menyertai industri media sebagai Pengarang Bersekutu dan kemudian Pengarang Eksekutif The Star, memegang tanggungjawab antara lain membangunkan platform digital bahasa Malaysia, mStar Online.

Allahyarham juga merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Sepanjang kerjaya dalam dunia kewartawanan, Rozaid pernah menemuramah secara eksklusif Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Malaysia dan juga Yang di-Pertuan Agong, selain membuat liputan Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Pergerakan G-20 di Senegal, Afrika.

Malah, beliau juga merupakan wartawan Malaysia yang dihantar ke Hatyai untuk membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 30 November 1989.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain