suria

Padah seludup masuk lapan PATI, lelaki disiasat bawah Atipsom... Bot, kereta dirampas pihak berkuasa

Rasuah merupakan satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah menahan lapan warga Indonesia termasuk seorang wanita kerana memasuki negara secara haram atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kapten Kama Azri Kamil berkata selain warga Indonesia, APMM turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun kerana menjadi 'tekong darat' (penyelaras darat).

“Dalam operasi penguatkuasaan bot peronda APMM, anggota kami ternampak bot mencurigakan yang disyaki membawa PATI memasuki perairan Johor kira-kira 7.3 batu nautika timur laut Pulau Pisang pada kira-kira 8.10 pagi Ahad.

“Pasukan kemudiannya segera mengejar bot berkenaan, tetapi mereka tidak berjaya kerana ia bergerak ke arah perairan cetek masuk ke Sungai Sanglang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kama Azri menambah, bot peronda APMM menyampaikan maklumat, menyebabkan pasukan darat segera dihantar ke lokasi.

“Berikutan maklumat penting itu, kami berjaya menahan kesemua lapan suspek termasuk tujuh PATI,” katanya.

Kama Azri juga berkata tujuh PATI berusia antara 24 dan 60 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, suspek warga tempatan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Kama Azri berkata APMM turut merampas bot gentian tidak berdaftar itu dan enjinnya yang digunakan untuk membawa PATI ke Malaysia serta sebuah kereta.

"Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Johor untuk siasatan lanjut. APMM akan terus memantau dan menjalankan operasi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin bagi menjaga keselamatan negeri," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain