suria

Mayat ketiga dipercayai mangsa kelar warga asing ditemukan terdampar di pantai

Mayat ditemukan oleh orang awam.

MAYAT kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan pihak polis di Pantai Leman, Kuala Kedah pada pukul 12 tengah hari Selasa, dipercayai mangsa bunuh dan kelar seorang suspek etnik Rohingya.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terdampar oleh orang awam yang berada di pantai tersebut.

Menurut Adzil, siasatan polis ketika penemuan mendapati keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar pada lehernya.

Ia mirip dengan dua lagi mayat yang ditemukan dalam longkang di belakang bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala, Alor Setar pada petang Isnin.

"Kita sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan, kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu.

"Suspek memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya yang belum ditemui sebelum ini dipercayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Selasa.

Terdahulu, dilaporkan penemuan mayat dua beranak iaitu wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar pada petang Isnin.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang dipercayai suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa di Masjid Bukit Pinang pada malam Isnin.

Turut bersama dengan suspek adalah anak lelaki berusia lima tahun yang dijumpai selamat, namun trauma.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain