suria

Lelaki warga Afrika dalang kes samun sejak 2018 maut ditembak, 10 lagi ahli masih bebas

Kejadian tembak menembak pada Selasa menumpaskan seorang suspek warga Afrika. -Foto X

POLIS menembak mati seorang suspek lelaki warga asing dalam insiden berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Suspek warga Afrika terbabit disyaki ahli kumpulan samun yang aktif sejak 2018 dengan mencatatkan nilai kerugian mencecah RM8 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, kumpulan itu dipercayai dianggotai kira-kira 10 lelaki warga Afrika lengkap bersenjata serta menyasarkan mangsa melalui urus niaga palsu.

"Kejadian kira-kira 7 petang itu turut menyebabkan dua butir peluru yang ditembak suspek lelaki berusia lewat 30-an terkena pada kenderaan polis.

"Kumpulan ini ada senjata api dan berisiko tinggi. Kita jumpa sepucuk pistol jenis Revolver dan suspek melepaskan lima butir peluru ke arah polis tapi tiada yang kena pada anggota terbabit.

"Kami masih menjejaki kumpulan yang aktif di sekitar Lembah Klang ini. Kita sudah maklum juga semua exit point (pintu keluar negara) akan suspek ini dan mereka mungkin tukar pasport," katanya pada Selasa.

Tambah Shuhaily, risikan terhadap kumpulan berkenaan dilakukan Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor sebelum dikordinasikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Katanya, pihaknya masih mengesan kira-kira 10 baki ahli kumpulan samun itu yang masih bebas.

"Modus operandi ialah mereka interaksi dengan mangsa melalui media sosial sebelum menawarkan transaksi sama ada jual barang kemas dan tukar mata wang asing.

"Mereka akan jumpa (mangsa) di hotel dan suruh mangsa ikut sebelum serang mangsa di jalan raya," katanya.

Susulan kejadian itu, mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang, Selangor untuk proses bedah siasat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain