suria

Balu legenda bola sepak Hashim Mustapha, Zaheran Hussien lega terima ‘nafkah’... Atlet diseru carum SKSPS Perkeso, nasib keluarga terbela

Subahan (empat,kiri) ketika hadir menyantuni waris keluarga Allahyarham Mohd Hashim.

KESEDIHAN di atas pemergian insan tersayang pastinya dirasai, namun waris dan ahli keluarga perlu meneruskan kelangsungan hidup.

Apa yang lebih penting adalah nasib keluarga terus terbela dan terjamin menerusi pemberian manfaat bersifat inklusif dan menyeluruh meskipun selepas pencari nafkah utama meninggal dunia.

Terbaharu, balu kepada legenda bola sepak negara, Allahyarham Mohd Hashim Mustapha dapat menarik nafas lega apabila menerima faedah perlindungan hasil caruman menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dibuat arwah semasa hayatnya.

Sebanyak RM22,173.67 sudah dibayar kepada balu Allahyarham iaitu Zaheran Hussien, 54.

Allahyarham Mohd Hashim Mustapha. Foto Bernama

Allahyarham Mohd Hashim Mustapha. Foto Bernama

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Allahyarham Mohd Hashim merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1986 sehingga 2019.

Menurut Subahan, Allahyarham yang pernah mewakili Malaysia dalam 10 perlawanan Asia itu menerima faedah Skim Keilatan selepas kakinya dipotong pada Oktober 2022 akibat komplikasi penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis yang dihidapinya.

“Bekas Atlet Paling Berjaya pada 1991 itu meninggal dunia pada 26 November 2022 dan meninggalkan seorang balu dan tiga anak masing-masing berusia 27 hingga 32 tahun

“Balu Allahyarham yang juga suri rumah sepenuh masa menerima bayaran Pencen Penakat bulanan sebanyak RM1,105 sepanjang hayatnya berikutan ketiga-tiga anaknya sudah melebihi usia 21 tahun,” katanya.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Subahan berkata, Allahyarham Mohd Hashim yang merupakan pemenang kasut emas dua tahun berturut-turut meninggal dunia pada usia 58 tahun, akibat masalah kesihatan yang kritikal selepas menghidap penyakit tiga serangkai pada 2022.

Atlet golongan berisiko tinggi

Jelas Subahan, pemberian faedah kepada balu Allahyarham membuktikan Perkeso bukan sekadar menyediakan perlindungan kepada pencarum namun turut memastikan waris terus dilindungi selepas pemergian pencari nafkah utama.

“Penyaluran faedah ini juga membuktikan kepentingan mencarum skim keselamatan sosial dalam kalangan atlet bagi memastikan setiap atlet yang rata-ratanya memiliki risiko tinggi untuk mendapat kecederaan, menerima perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

“Dengan adanya perlindungan khusus untuk atlet, ia dapat memberi jaminan dan kelegaan kepada mereka dan mampu menumpukan sepenuh perhatian terhadap latihan dan pertandingan,” jelas Subahan.

Balu Allahyarham Mohd Hashim, Zaheran Hussien.

Balu Allahyarham Mohd Hashim, Zaheran Hussien.

Sehubungan itu, orang ramai yang digalakkan untuk membuat caruman dengan menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Perkeso.

Subahan berkata, Perkeso mencatatkan seramai 679,830 individu aktif mencarum di bawah SKSPS sehingga 9 Ogos lalu.

Subahan (tengah) menyampaikan sumbangan Kotak Prihatin kepada Zaheran (empat, kanan).

Subahan (tengah) menyampaikan sumbangan Kotak Prihatin kepada Zaheran (empat, kanan).

Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 30,179 individu di Kelantan merupakan pencarum aktif.

“Bagi tempoh sama, dianggarkan 3,192 atlet atau ahli sukan mencarum di bawah SKSPS dengan hanya dua atlet yang aktif mencarum adalah dari negeri Cik Siti Wan Kembang,” katanya lagi.

Pada Selasa, Subahan bersama Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Roshaimi Mat Rosely dan Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob menyantuni waris keluarga Allahyarham Mohd Hashim dalam Ziarah Prihatin di kediaman mereka di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bharu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain